PENJAGAAN SELEPAS BERSUNAT
Tahniah! Anda telahpun menjalani khatan dengan menggunakan kaedah Alisklamp. Selepas Alisklamp dipasang, anda boleh terus memakai seluar dan melakukan aktiviti seperti biasa, berikut adalah masalah-masalah yang mungkin anda alami :
1. Kesakitan
Dalam masa 1 ke 2 jam pertama kesan ubat bius akan berkurangan perlahan-perlahan dan persepsi kesakitan adalah seperti berikut:
- 80% – merasai sedikit sakit
- 15%- merasai kesakitan yang sederhana
- 5% – merasai sangat sakit
Masalah kesakitan selalunya berpunca dari tahap daya tahan sakit yang rendah, keadaan takut atau ditakutkan dan mengambil ubat yang kurang dos atau kurang berkesan. Masalah emosi dapat diatasi jika mendapat galakan positif dan juga anda perlu faham bahawa setiap luka akan merasai sakit sedikit. Maka anda perlulah tahan dan banyak bersabar. Makan ubat seperti yang disyorkan dan banyakkan berehat. Sakit akan semakin berkurangan setelah 1- 2 hari kemudiannya.
2. Pendarahan
Risiko pendarahan amatlah kecil dengan kaedah Alisklamp (kurang dari 1%) berbanding dengan kaedah jahit (5-7%). Ini mungkin berlaku akibat bahagian yang dikhatankan itu ditekan atau terlanggar dengan kuat. Selalunya pendarahan akan berlaku dalam tempoh 24 jam yang pertama, oleh itu pastikan anda sentiasa mengawasi perkara ini. Jika berdarah sedikit (beberapa titik) tidak mengapa, akan tetapi seandainya pendarahan berlaku berterusan maka anda hendaklah hubungi doktor yang mengkhatankan anda dengan kadar SEGERA.
3. Membuang Air Kecil
Anda boleh membuang air kecil dengan mudahnya melalui tiub Alisklamp. Jangan takut untuk berbuat demikian. Kadangkala ketika kencing, anda akan merasai pedih sedikit kerana proses radang yang berlaku dan juga keadaan takut yang meningkatkan lagi perasaan ini. Untuk memudahkan anda kencing, tarik Alisklamp ke hadapan sedikit agar lubang kencing anda bebas andainya terhalang oleh tiub plastik tersebut. Selepas kencing, seeloknya bilas dengan air bersih dan keringkan bahagian dalam tiub dengan menggunakan putik kapas (AWAS : anda mungkin berasa ngilu sedikit apabila menyentuh glans penis). Bahagian luka di luar tiub tidak perlu dicuci kerana ia tidak terkena air kencing. Seandainya anda masih tidak dapat kencing dalam masa 24 jam, sila hubungi doktor anda dengan SEGERA.
4. Kegatalan
Perasaan gatal di bahagian luka jarang berlaku. Anda boleh mandi dengan air suam ataupun berendam dalam air bagi mengurangkan rasa gatal. Jika ia terlalu gatal, rujuk kepada doktor anda untuk mendapatkan ubat tahan gatal.
NASIHAT SELEPAS BERSUNAT ALSIKLAMP
AKTIVITI
Alisklamp terpasang dengan kuat dan selamat. Anda boleh melakukan sebarang aktiviti biasa tetapi cuba elakkan dari melakukan aktiviti lasak seperti bermain bola, Rugbi, bergusti, memanjat pokok ataupun memanjat tangga. Elakkan dari merangkak ataupun dari terjatuh dengan perut dahulu. Pemakaian seluar khas selepas bersunat adalah digalakkan.
TIDUR
Elakkan dari tidur meniarap. Anda boleh tidur terlentang atau baring mengiring ..
PAKAIAN
Anda boleh memakai pakaian yang anda rasa selesa. Bayi boleh memakai lampin yang bersaiz besar, manakala kanak-kanak boleh memakai seluar dalam yang khas selepas khatan.
MANDI / BERENANG
Anda boleh mandi dan bersabun seperti biasa bermula selepas khatan, namun hati-hati untuk tidak mengasari bahagian khatan tersebut. Untuk berenang juga tidak menjadi masalah.
TEMPAT SUNTIKAN
Ruam, lebam (terutama di bahagian suntikan bius), bengkak/bentan merupakan perkara biasa. Perkara sedemikian akan beransur pulih dalam beberapa hari kemudiannya.
MINUMAN /MAKANAN
Tidak perlu berpantang minum ataupun makan kerana luka anda adalah tertutup dan kering.
NASIHAT SEBELUM DATANG MEMBUKA ALISKLAMP
Anda tidak di galakkan untuk berendam didalam air sejuk atau air suam sebelum datang untuk menanggalkan alisklamp. Ini biasanya dinasihatkan kepada sunat dengan clamp jenama lain, dengan alisklamp penanggalan alisklamp adalah lebih mudah dan senang dengan kuping yang kering(tempat sepitan).
Berendam didalam air boleh menyebabkan ‘kuping’ yang kering menjadi lembut, mengembang dan mudah koyak dan menggalakkan komplikasi berikut:
1. Berlaku nya penumbuhan saluran darah baru (‘revascularization’) dan seterusnya perdarahan.
2. ‘Kuping’ adalah kulit yang mati (gangrene), jadi dengan keadaan yang basahdan mengembang boleh memudahkan risiko infeksi terjadi.
3. Kuping yang basah, kembang dan lembut akan memudahkan luka terbuka semula (wound gaping)
Reference from : – http://alisklamp.my/index.php/alisklamp/penjagaan/penjagaan-selepas-bersunat